Ads 468x60px

Selasa, 17 Mac 2009

Ukhwah Ke Peringkat Global !!!

KUALA LUMPUR - Koperasi Pendidikan Islam Malaysia (UKHWAH) mula mengembangkan aktivitinya ke peringkat global dengan menjadikan kota-kota terkemuka dunia sebagai peluang pelaburan dalam jangka masa lima tahun.

Menurut pengerusinya, Mustapa Kamal Maulut, pihaknya sedang mengintai peluang di beberapa buah tempat terutamanya di Mekah, Madinah, London dan Australia dengan mensasarkan pemilikan hartanah bernilai RM300 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Untuk masa terdekat UKHWAH dijangka akan membeli sebuah bangunan terletak di kota London bernilai empat juta pound sterling. Di samping itu kami merancang membeli bangunan di Kota Mekah dan Madinah untuk kegunaan umat Islam menunaikan ibadah umrah dan haji,” katanya, ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Galeri Hartanah UKHWAH di Kuala Lumpur baru-baru ini. Berkenaan Galeri Hartanah UKHWAH, bangunan setinggi lima tingkat yang terletak di Medan Tuanku, Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur itu merupakan hartanah terbaru milik UKHWAH bernilai RM2.7 juta yang dibeli secara tunai.

UKHWAH yang ditubuhkan sejak 11 tahun lalu, kini memiliki pelbagai hartanah termasuk jenis komersial, kediaman dan industri bernilai RM120 juta di beberapa lokasi antaranya di Taman Titiwangsa, Denai Alam, Shah Alam, Plaza Damas, Bandar Tun Razak dan Bandar Tasik Permaisuri. Terbaru, UKHWAH membeli 24 buah banglo tiga tingkat bernilai RM2.8 juta seunit di Sri Hartamas.

Bagi memastikan aktiviti hartanah dalam negara dapat dikembangkan, UKHWAH giat berusaha untuk membeli beberapa lokasi strategik seperti di sekitar KLCC, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Iskandar Malaysia. Menurut Mustapa, pelaburan yang dibuat oleh UKHWAH sekali gus membuka jalan kepada Bumiputera menceburi bidang hartanah tambahan pula UKHWAH merupakan koperasi tunggal di Kuala Lumpur memiliki hartanah dengan nilai besar.

“Peluang pelaburan ini terbuka kepada semua individu dan badan-badan pertubuhan dengan jumlah pelaburan minimum sebanyak RM1,000 hingga RM50,000. Sebagai permulaan, UKHWAH menawarkan pulangan lima peratus setahun daripada jumlah pelaburan.

"Kami sedia menawarkan pengalaman dan kepakaran kepada mana-mana koperasi yang berminat,’’ katanya, sambil menambah pelaburan yang dibuat oleh UKHWAH itu bertepatan dengan Dasar Ekonomi Baru yang mensasarkan pemilikan 30 peratus pemilikan aset hartanah di kalangan Bumiputera.

Jelas Mustapa lagi, tidak mustahil bagi Bumiputera untuk menguasai bidang hartanah sekiranya ada koperasi yang lebih besar seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) turut serta dalam aktiviti pelaburan sedemikian.

Tiada ulasan:

Sample text














 

Sample Text

fadzoners

Sample Text