Ads 468x60px

Sabtu, 16 Ogos 2008

BETUL KE ASET SITI RM50juta!!!!!

Siti: Bahagia, aset RM50 juta & berhenti menyanyi



BAKAL muncul dengan album tradisional sebagai inisiatif memelihara warisan lagu Melayu.



Lama tidak bertemu, Datin Seri Siti Nurhaliza masih seperti biasa - mesra dan tinggi budi bahasa. Namun sosoknya tampak sedikit kurus. "Sedang diet," katanya tersenyum menampakkan baris gigi putih bersih sebelum menyambung: "Sekarang sudah turun dua kilogram."
Dan Siti tetap Siti. Tidak pernah meletakkan dirinya jauh mencapai kayangan. Sederhana dan sedar diri serta tidak mengkelaskan sesiapa adalah prinsip yang diamalkan wanita ini. Sebab itu, Siti masih di sini. Masih dipuja dan kekal dihormati selama 12 tahun ini.
Hari itu, saya ajak wanita berusia 29 tahun ini berkongsi persepsi tentang kemerdekaan. Merdeka buat negara, merdeka buat industri juga merdeka buat dirinya.
Adakah Siti berasa merdeka apabila berkahwin dengan usahawan Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa dan bagaimana dia mentafsir erti kemerdekaan ini dalam konteks cinta.
Tidak ada satu jawapan lolos begitu sahaja. Semua dijawab penuh bernas oleh Siti. Seperti katanya: "Cinta dan kemerdekaan bagi Siti berkait rapat kerana pada bulan kemerdekaan inilah kami disatukan. Namun secara umum, Ogos ini dikhususkan cinta buat negara."
Kemerdekaan, dari perspektif Siti juga adalah apabila seseorang itu berjaya memberi anjakan yang membawa kepada perubahan.
"Bagi Siti, Siti merdeka bila mampu mengharumkan nama negara dan bila Siti dapat mencapai sesuatu visi. Itu merdeka bagi Siti," katanya.
Sementara dalam beberapa soalan terutama berkaitan rumah tangga yang kini menuju usia dua tahun pada tanggal 21 Ogos depan, Siti mengait jawapan dengan cermat.
Tetapi isi jawapannya penuh jujur. Dan tidak terlepas meminta Siti mengulas tentang dia memiliki aset RM50 juta seperti yang diuar-uarkan.
'Siti bukan cakap besar'
Kami berbicara tentang cemuhan, asmara juga pergolakan rumah tangganya bersama Datuk K sejak berkongsi jiwa dalam tempoh 730 hari.
Siti ketawa manja. Bertenang dan kemudian mula melontarkan perasaan yang dirasa sepanjang menikahi Datuk K, juga menjadi ibu segera kepada zuriat terdahulu suaminya itu.


SITI bahagia dengan keseimbangan hidupnya kini.



Tegas Siti, dia tidak pernah menyesal dengan liku hidup yang pernah dilaluinya.
Kesukaran mencari ruang privasi kerana dirinya selebriti dan kemudian mengejutkan peminat dengan mengahwini seorang duda, dia tahu keputusannya itu mengundang cemuh disulam doa daripada pelbagai lapisan khalayak.
Mengakui biar sempat lelah dengan kembara yang ditempuh, namun ranjau yang mencucuk kembaranya itulah membuat dia semakin matang.
Luah Siti: "Ikhlas Siti katakan, Siti bukan cakap besar, Siti bukan tak takut, tapi dari awal Siti sudah bersedia dengan risiko kepada keputusan Siti. Siti tahu perkara ini akan ada impaknya.
"Sebab itu Siti sudah bersedia dan tidak risau kerana niat Siti berkahwin ikhlas. Siti percaya selagi Siti berpijak di bumi nyata, semua kesukaran akan mampu Siti hadapi dengan baik. Insya-Allah."
Berpegang pada kekuatan itu, Siti kini bahagia menjadi suri hidup Datuk K. Dan tempoh dua tahun berkongsi hidup juga kata Siti banyak mengajar dia menjadi seorang wanita yang lebih sempurna. Dalam dua tahun ini juga mereka saling belajar menyesuaikan diri dengan keadaan masing-masing.





Siti tertawa kecil mengenang betapa Ogos akan selalu membuatkan dia berdebar kerana media dan khalayak mula bertanyakan tentang sambutan ulang tahun perkahwinan mereka.
"Tahun ini tak ada majlis, tapi Siti buat kenduri doa selamat sahaja. Insya-Allah kami akan menunaikan umrah pada awal Ramadan nanti," kata Siti yang sudah enam kali menunaikan umrah.
Dan Siti mengulas tentang usia perkahwinannya yang masih basah: "Siti selalu melihat, pada masa akan datang, ada situasi berbeza yang lebih mencabar.
"Bila Siti pejam mata, Siti bayangkan kehidupan 20 hingga 30 tahun akan datang, perkongsian hidup kami masih jauh lagi. Masih banyak cabaran.
"Tapi jangka dua tahun ini, Siti bersyukur kerana semuanya berjalan dengan baik. Biar dunia kami berbeza, kami belajar untuk saling memahami dan berpesan. Suami adalah panduan Siti."
Menjawab isu dicemuh pula, Siti tenang mendefinisikan khalayak mempunyai hak untuk berbuat demikian, juga sebaliknya. Cemuhan ulas Siti penuh makna: "Akan membuatkan darjat kami berdua diangkat oleh Tuhan kepada tingkat yang lebih mulia."
Disogok dengan dakwaan berita negatif rumah tangganya seperti Siti kerap berendam air mata, juga dipukul, Siti menjawab: "Siti tak pernah menangis. Dipukul? Tak masuk akal!
"Bila baca cerita negatif tentang kerukunan rumah tangga kami, Siti senyum. Kemudian kami berdoa."
Berhenti menyanyi & aset RM50 juta
Kebahagiaan yang diperoleh Siti telah membawa dirinya masuk ke satu liga lain. Pola pemikiran dan cara Siti memandang perjalanan masa depan juga sudah jauh lebih matang.
Bicara Siti kini cenderung mengangkat hal rumah tangga dan bisnes. Dia memasang mimpi untuk mempunyai produk label sendiri, juga mengembangkan bisnes dalam bidang hiburan.





Dan dalam bicara kami, Siti umpama memberi signal bahawa dia tidak teragak-agak melepaskan status penyanyi tersohor negara apabila tiba waktunya kelak - semuanya demi menjadi suri rumah tangga yang sempurna.
Saya katakan pada Siti, industri dan negara akan kerugian jika dia bertindak demikian. Mengapa Siti berfikir sejauh itu?
Jawapan Siti: "Tak mustahil Siti berhenti menyanyi. Tapi Siti tak boleh tentukan bila kerana manusia berubah. Barangkali apabila Siti ada komitmen untuk anak-anak kelak, pada waktu itu ia (berhenti) tak mustahil terjadi."
Tidak menjadikan isu ingin berhenti menyanyi sebagai satu debat kerana menghormati pola pemikirannya, saya pantas beralih kepada isu aset RM50 juta seperti yang dicanang.
Siti ketawa besar sambil mengakui siapa yang tidak mahu bergelar jutawan dan memiliki aset sebanyak itu. Malah dia sempat kaget dengan pernyataan tidak benar tersebut.
"Siti terkejut bila dengar Siti ada aset RM50 juta. Tak tahu macam mana mereka menilai. Itu tidak benar. Tapi Siti selalu berdoa untuk mempunyai aset sebanyak itu," katanya ketawa.
Bagaimanapun Siti mengaku kalau asetnya mencecah jutaan ringgit, sambil berkata, jika kita bijak mengurus kewangan dengan baik, tidak mustahil kita mampu menjadi seorang jutawan.


p/s:betol atau tidak???aku sebagai peminat tidak mengetahui siti memperolehi aset sebanyak itu...kalau betol YA apasalahnya memang siti dah layak memiliki aset sebanyak gitu boleh memperluaskan yayasan NURJIWA yang diceburi...kalau TAK bagus lah xada orang tertentu dengki pada siti??huhuhu...='(

Tiada ulasan:

Sample text














 

Sample Text

fadzoners

Sample Text