Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
|
MENAWAN… Meski tampil ringkas, Siti tetap jelita dan semakin langsing.
|
HARI ini, 1 April 2009 menandakan genap 14 tahun anak seni yang tiada tandingan ini melayari kehidupan di pentas yang penuh pancaroba.
Tarikh keramat itu juga merupakan permulaan segalanya bagi wanita ini apabila album sulungnya, Siti Nurhaliza yang memuatkan lagu popular Jerat Percintaan dan Jawapan Di Persimpangan dipasarkan.
Sepanjang tempoh itu jugalah, peminat dan pemerhati muzik tempatan serta nusantara menyaksikan transisi figura unggul ini membina dirinya menuju kematangan, baik dalam kerjaya seninya mahupun kehidupan peribadinya.
Tempoh 14 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat untuk wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk membina empayar seninya sehingga mampu digelar penyanyi nombor satu negara.
Katalah dan lemparkanlah apa sahaja kata-kata nista walaupun kedengaran kurang enak kepadanya, langsung tidak akan membuatkan dirinya berganjak dari apa sahaja yang beliau ingin lakukan demi kebahagiaan dan kebaikan dirinya.
Lakaran kehidupan biduanita muda negara ini sememangnya penuh warna-warni. Suka, duka, pahit dan manis.
Lengkap segala rencah dan menyingkap sejarah kariernya, perjalanannya untuk menduduki takhta teratas seperti hari ini tidak berlaku semalaman.
Sebaliknya, panas terik dan hujan badai yang perlu dilaluinya tanpa mengira penat lelah di awal kemunculannya untuk mencipta nama sebagai seorang penyanyi selepas kejayaannya merangkul gelaran juara Bintang HMI 1995.
Bukan itu sahaja, di kala usia yang ketika itu mencecah 16 tahun, Siti mengorbankan usia remajanya dalam menggapai impian dan cita-cita untuk bergelar seorang penyanyi sedangkan rakan-rakan sebayanya bertarung dengan buku serta bersengkang mata siang dan malam untuk memperoleh kejayaan cemerlang di dalam pelajaran.
Itulah dinamakan takdir dan sememangnya sudah tertulis di loh mahfuz bahawa masa depannya sememang cukup cerah dalam bidang seni suara.
Siti cukup bertuah kerana dia hadir dengan pakej yang lengkap yakni suara gemersik bagaikan buluh perindu di samping memiliki wajah jelita dan manis.
Selain kehebatan vokalnya, keperibadiannya yang masih lagi mempertahankan budaya dan adat ketimuran juga menjadi faktor mengapa Siti diminati dan disanjung oleh pemujanya.
Cukup luar biasa
Tidak terhenti setakat itu, siapa yang boleh lupa kejayaan sulungnya dalam bidang nyanyian apabila lagu dendangannya, Jerat Percintaan dinobatkan sebagai Juara Lagu 1996 dengan mengalahkan penyanyi wanita popular ketika itu, Ziana Zain.
Bermula detik itu, Siti tidak lagi menoleh ke belakang dan dia menjadi semakin yakin dengan dirinya yang mampu untuk mencipta nama sebagai seorang penyanyi popular.
Malah, namanya juga semakin meniti di bibir masyarakat serta peminat yang mula menyanjung bakat besar yang dikurniakan Allah s.w.t. kepadanya itu dan dia berjaya mencipta populariti yang cukup luar biasa.
Sudah menjadi adat manusia yang perasaan cemburu dan iri hati akan tetap terbit dalam hati dan setiap kali Siti mencipta kejayaan serta kecemerlangan, ia pasti akan mengundang perasaan ketidakpuasan dan polemik di kalangan peminat dan karyawan seni tanah air sendiri.
Siapalah kita untuk mempersoalkan setiap rezeki yang telah ditentukan oleh Allah.
Siti sendiri mungkin tidak pernah bermimpi mahupun memasang impian untuk menggenggam kejayaan luar biasa seperti yang dikecapinya hari ini.
Ruangan ini juga terlalu terhad untuk menyenaraikan kejayaan dan kegemilangan yang diraih Siti sepanjang 14 tahun bergelar penyanyi dan penghibur tersohor negara dan juga nusantara.
Sehingga kini, dianggarkan lebih daripada 150 anugerah dari dalam dan luar negara yang menjadi milik mutlak penyanyi berdagu lekuk ini sehingga tidak terhitung jumlahnya.
Namakan saja. Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Era, Anugerah Planet Muzik dan pelbagai anugerah lagi, semuanya sudah menjadi prasasti seni seorang yang bernama Siti Nurhaliza.
Bukan sekadar kisah kejayaannya yang menjadi perhatian tetap kehidupan peribadinya juga cuba ditelanjangkan.
Tetapi ketegaran Siti mempertahankan privasinya amat disanjung tinggi sehinggalah dia mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya dengan seorang ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006 dalam perkahwinan yang dilabelkan sebagai wedding of the year.
Pun begitu, bahtera perkahwinan mereka berdua yang akan menginjak usia tiga tahun pada Ogos nanti tidak pernah henti diuji. Walaupun pelbagai kata-kata kurang enak menyelubungi ikatan suci mereka, namun, cinta mereka tetap kukuh dan bahagia sehingga ke saat ini meskipun jurang usia mereka sangat besar.
Konsert amal
Berbalik kepada karya seninya, sepanjang 14 tahun ini, evolusi muzik nyanyian Siti dilihat begitu ketara. Mengenali Siti, beliau tidak pernah lelah untuk mencuba sesuatu yang baru dalam memberikan yang terbaik untuk mengukuhkan lagi legasi seninya.
Lagu-lagu hits dan popularnya antaranya seperti Aku Cinta Padamu, Cindai, Purnama Merindu, Hati Kama (duet bersama Noraniza Idris), Kau Kekasihku, Balqis, Percayalah, Nirmala, Dialah Di Hati, Bukan Cinta Biasa, Biarlah Rahsia, Ku Mahu, Melawan Kesepian serta yang terbaru, Di Taman Teman sememangnya cukup diminati
Apa yang pasti, rangkaian lagu-lagunya itulah yang berjaya meletakkan dirinya di puncak tertinggi. Yang amat diimpikan oleh penyanyi bersuara emas ini adalah untuk mendokumentasikan lagu-lagu dendangannya itu dalam satu konsert khas yang akan diadakan sekitar bulan Jun depan.
Semuanya itu adalah untuk meraikan ulang tahunnya ke-14 bersama peminat-peminatnya yang tidak pernah henti menyokongnya serta menjadi tulang belakang kejayaannya selama ini.
Bukan tidak pernah dia membuat persembahan sedemikian rupa kerana pentas agung Royal Albert Hall, London pernah menjadi saksi lagu-lagunya berkumandang di segenap maya dewan penuh keramat itu pada tahun 2005.
Tetapi kata Siti, kali ini konsert yang akan diadakan di pentas bertaraf dunia, Istana Budaya itu akan memberikan satu persembahan dan pendekatan yang cukup berbeza.
Malah dia tidak segan untuk mengakui konsep persembahan yang ada di dalam kotak fikirannya kini adalah berinspirasikan daripada konsert Celine Dion Live In Vegas.
Meskipun begitu, ia bukanlah sembarangan konsert kerana ia adalah konsert amal di mana sebahagian daripada hasil penjualan tiket akan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa.
“Tapi saya sedar apa sahaja yang saya lakukan semuanya kena ukur di baju sendiri. Saya mahu manfaatkan segala kemudahan yang ada di Istana Budaya demi mempamerkan satu kelainan demi peminat saya.
“Saya tidak mahu bercerita lanjut tentang konsert ini kerana masih terlalu awal dan semuanya masih lagi di peringkat perbincangan. Kertas kerja juga sudah diserahkan kepada pihak Istana Budaya.
“Apa yang saya harapkan kini adalah untuk mendapatkan penajaan daripada pihak-pihak korporat dan swasta bagi merealisasikan konsert amal ini,” jelasnya yang kelihatan semakin langsing itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Secretaries’ Week Luncheon Special Exclusively With Kris Dayanti and Siti Nurhaliza di Hotel Quality City Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pegawa Operasi Cash Band, Johan Thomas Low dan Penolong Pengurus Eksekutif Hotel Quality City Centre, Hidzir Abdul Hamid.
Kris akan membuat persembahan pada 21 April, manakala Siti pula pada 22 April dan persembahan mereka akan berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade (MECC).
Bercerita lanjut tentang persembahan eksklusif sempena minggu setiausaha tahun ini, Siti melahirkan rasa terujanya kembali berkolaborasi dengan hotel berkenaan untuk kali keenam.
Apatah lagi, sudah dua tahun dia tidak mengadakan persembahan pada minggu setiausaha. Lebih manis lagi, tahun ini juga merupakan persembahan Siti yang pertama selepas bergelar seorang isteri.
Khabarnya juga pihak Hotel Quality telah melamar dan berusaha mendapatkan Siti sejak bulan September tahun lalu untuk persembahan eksklusif ini.
“Tawaran pihak Hotel Quality memang sukar untuk saya tolak kerana kami mudah untuk bekerjasama dan sikap toleransi itu ada. Apa yang pasti, setelah dua tahun berehat, saya akan memberikan persembahan yang berbeza kali ini.
“Saya mahu mereka berasa puas dan gembira agar ia setimpal dengan harga yang mereka laburkan untuk persembahan saya yang akan berlangsung selama 45 minit hingga satu setengah jam itu,” kata anak kelima daripada lapan adik-beradik itu lagi.
Mengenai kerjaya seninya yang semakin rancak selepas perkabungan sempena pemergian ayahanda tercinta, Allahyarham Tarudin Ismail pada 15 Februari lalu, ternyata Siti tidak menang tangan memenuhi undangan nyanyian dan rakaman program televisyen.
Berterima kasih
Siti juga akan menjadi salah seorang artis yang akan membuat persembahan pada malam Anugerah Bintang Popular pada 12 April depan dan berkemungkinan besar juga pada anugerah berprestij, Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) nanti.
Malah, penyandang Vokal Wanita Terbaik AIM sebanyak sembilan kali ini juga kembali menyambung promosi bagi album Lentera Timur yang mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.
“Alhamdulillah, Lentera Timur dapat diterima dengan baik oleh peminat dan pendengar radio. Selepas ini, lagu Cinta Ini ciptaan Katon Bagaskara akan menyusul sebagai single kedua. Malah, video klip lagu berkenaan juga sudah ditayangkan di televisyen.
“Dalam masa yang sama, lagu Ada Masa Mata karya M. Nasir juga mendapat tempat di corong radio. Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan untuk album ini,” ujarnya yang tidak akan mencalonkan lagu-lagu terbarunya dalam Muzik-Muzik 24 tahun ini.
Pada kedua-dua hari itu nanti, pelakon dan pelawak terkenal, Dee akan bertindak sebagai hos, manakala Dasha Logan yang merupakan anak kepada mendiang Loga daripada kumpulan Alleycats akan beraksi untuk persembahan pembukaan.
Bagi setiausaha dan peminat dua diva terulung Nusantara ini, tiket-tiket berharga RM580++ (VVIP), RM480++ (VIP), RM380++ (1st Tier) dan RM280++ (2nd Tier) sudah mula dijual. Sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi talian 03-2693 9233 sambungan 8023/8017.
sumber: utusan malaysia online